Tuesday 5 January 2021

Dilema Politik Islam Masa Kini

Masyarakat sedang memerhatikan gelagat pemimpin Islam yang dilantik sebagai pemimpin negeri atau negara. Tidak cukup mengatakan wajib melantik mereka  setiap kali pilihanraya umum bagi membolehkan mereka mentadbir urusan pentadbiran rakyat. Perkara yang lebih penting ialah apakah perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat. Sama ada pembangunan kerohanian atau pembangunan zahir, seperti kemudahan rakyat, pekerjaan, perumahan, lebuhraya dan lain-lain lagi. Rakyat ingin melihat sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

Sebagai contoh negeri Kelantan telah berjaya dimenangi oleh parti Islam semenjak tahun 1990 lagi. Ini bermakna sudah 30 tahun Islam mentadbir. Satu tempoh yang agak lama untuk merancang pembangunan dari sudut ekonomi dan sosial. Seperti seloroh Tengku Razaleigh Hamzah, Kelantan masih lagi tidak mampu selesai air keruh.

Mungkin ada orang yang mengatakan negeri Kelantan tidak ada duit. Tempoh 30 tahun sudah boleh merancang pembangunan ekonomi yang mampan di bawah kuasa negeri. Ramai profesor ekonomi yang berasal dari rakyat Kelantan boleh digemblengkan untuk memajukan negeri kelahiran.

Memang Islam itu sifatnya syumul. Tetapi tidak semua yang perlu dibuat dijelaskan dengan terperinci dalam al-Quran. Disebut  secara umum sahaja. contohnya sistem pemerintahan pun tidak ditentukan bentuk dan coraknya. Sejarah Islam dipenuhi dengan sistem beraja. Namun setakat yang diketahui tidak ada ulama Islam yang mengatakan itulah satu-satu sistem politik Islam. Islam telah terbukti membawa kemajuan kepada empayar Andalus sehingga boleh dilihat sehingga hari ini. Teknologi pengaliran air tanpa kuasa elektrik dan sebagainya.  Kemajuan kebendaan  amat berkait rapat. Sesuai dengan seruan Islam mementingkan kemajuan kerohanian,  mahupun kebendaan.

Kelemahan ini dipergunakan  oleh parti-parti politik yang berlatarbelakangkan sekular liberal untuk memperkecilkan politik Islam. Ada dalam kalangan mereka secara sinis melemparkan tuduhan parti yang memperalatkan dan mempergunakan Islam.  Tuduhan ini walaupun berat, tetapi elok juga dijadikan pengajaran kepada  semua yang memperjuangkan politik Islam. Tidak boleh bergantung hanya kepada semangat dan slogan kita mesti Islam dari sudut politik atau Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah.

Tidak boleh dijadikan hujah redha dengan keadaan yang ada, tanpa memikirkan solusi dan penyelesaian.